Friday, 14 October 2011

CAMBODIA KEMBARA MUSLIM

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Assalamualaikum W.B,

SIEM REAP

Alhamdullihlah syukur kita kepada Allah yang telah memberi petunjuk dan hidayah kepada saya untuk berkongsi pengalaman berhubung Ayat 20 dari Surah Al-Ankabut.  Saya dengan ditemani oleh seorang teman rapat telah berkesempatan melakukan kembara muslim demi menjejaki saudara kita di Cambodia.  Disamping itu kami juga berkesempatan melawat satu daripada tujuh pembinaan ajaib didunia.  Angkot Wat yang terletak 20 Km di daerah Siem Reap.  Lawatan kali ini dalam keadaan suram disebabkan bumi Cambodia sedang dilanda banjir dimerata tempat.  Pemandangan dari sayap Air Asia saujana mata memandang tanah-tanah sawah ditenggelami air termasuk jalan masuk ke bandar Siem Reap dilimpahi air dimana mana.   

Objektif pengembaraan kali ini adalah berlainan dari pengembaraan kami ke negara negara lain sebelumnya.  Sejak sekian kalinya saya mengembara dibumi Cambodia tetapi inilah julong kalinya kami ingin menjejaki saudara Muslim yang dianggarkan berjumlah 700,000 orang diseluruh Cambodia setelah mendengar kyabar berita penderitaan mereka daripada masmedia. Alhamdulillah kami mendarat dibumi bertuah ini jam 08.30 pagi dengan sinar harapan menjejaki umat Muhammad S.A.W.

Bandar Siem Reap terletak dalam jarak 18 km dari lapangan terbang.  Saya menuju terus ke hotel penginapan di-Mandalay Inn dan berehat sebelum meneruskan rangkaan pengembaraan seterusnya.   Apa pun kami harus mendapatkan makan tengahari yang sememangnya tidak sukar untuk pengembara Muslim di bandar Siem Reap.  Terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan halal sebagai contoh D'Wau Restoran, Taj India, dan beberapa lagi disekitan bandar.  Bagi kami, kami ingin mencari kelainan dalam makanan kali ini.  Difahamkan disekitar Stoung Thmey Village berhampiran  dengan Masjid An-Ni'mah terdapat beberapa restoran dan gerai yang menjual makanan kymer yang perlu dirasai keenakannya.

                Masjid An-Ne'mah Siem Reap 

Mengambil masa kurang daripada lima minit perjalanan dengan tuk-tuk dari hotel penginapan, kami mengharungi jalan berdebu dan terletak dicelah-celah deretan rumah dan pusat perniagaan sebuah perkampungan yang diduduki oleh masyarakat Islam Cambodia dengan sebuah masjid yang sederhana besar.  Bermula dari sinilah episod Kembara Muslim Cambodia kami bermula.  Ditakdirkan oleh Allah kami memasuki Restoran Kymer yang kebetulan pemiliknya adalah Imam Dua Masjid An-Ne'mah yang dikenali sebagai Tuan Haji Naseat (email : hajinaseat@hotmail.com ).  Beliau seorang yang amat mesra dan peramah semasa berbual dengan kami dalam Bahasa Melayu ala Khmer.  Hidangan tengahari kami disediakan oleh isteri beliau sendiri.  Pertama kali kami menjamah hidangan Khmer yang seakan-akan masakan Thai muslim dengan rasanya  sedikit berbedza jika dibandingkan diantaranya.

Perbualan kami bermula dengan tajuk yang menarik.  Halal.  Semua masyarakat Islam amat menitikberat sekali dalam mengenalpasti makanan halal walau dimana dunia sekali pun. Halal di Cambodia sememangnya telah sinonim oleh masyarakat Islam mahu pun orang bukan Islam.  Kami difahamkan bahawa 80 peratus daging yang dijual di pasar-pasar ialah daging halal yang dibekalkan oleh orang-orang miniroti Islam dipersekitaran Siem Reap.  Secara kebetulan menarik perhatian kami kepada sebuah van yang berlogokan Halal diletakkan dihadapan restoran.  Rupanya Cambodia telah lama mengusahakan Halal Hub sebagaimana kita baru beberapa tahun diwar-warkan.

Dari Halal Hub perbualan kami bertumpu kepada soal Akiqah & Qurban.  Dimaklumkan setakat ini ramai sudah masyarakat orang berada di Malaysia telah mengadakan ibadah tersebut di Siem Reap disamping memberi bantuan dalam usaha membasmi kemiskinan disini.  Tahniah semuga Allah memberkati usaha murni mereka.  Masa kian berlalu kami terpaksa beredar untuk aktiviti riadah dengan membuat lawatan ke kuil purba peninggalan sejarah India di Cambodia.  Kami menghabiskan masa hampir 5 jam melawat keseluruhan Angkor Wat dengan bayaran masuk US20 dengan seribu kenangan manis sebagai pengembara.

Petang dan malam menjelang.  Selepas mandi, solat dan berehat sebentar kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Masjid An-Ne'mah dengan hasrat dapat berjumpa dengan Member of Municipality of Siem Reap Town merangkap Imam Satu Masjid Siem Reap dan makan malam.  Sebagaimana yang dijangkakan sewaktu menghampiri maghrib kami diketemukan oleh Allah dengan hambaallah yang kami sama-sama mencari untuk berkongsi pengalaman.  Ustaz Tuan Hj Musa (Email : musasoleh@yahoo.com ) selaku pemilik restouran bersebelahan masjid menyapa dengan Assalamualaikum dan kami menyahut salam dan menjemput bersama makan malam.  Sajian makan malam ini tiada bezanya dengan makanan kita di Malaysia.  Sedap dan menyelerakan.  Uztaz Hj Musa memaklumkan ramai diantara pelawat dari Malaysia yang melawat Siem Reap akan datang ke restoran beliau untuk menjamu selera samaada makan tengahari mahupun tempahan makan malam.
                                                                                          Hj Zainal & Ustaz Hj Musa dan Hj Rosli

Mukaddimah bermula dengan kami membincang untuk mencari penyelesaian kearah membasmi kemiskinan masyarakat Islam Cambodia.  Persoalan pokok berkisar kepada soal ibadah, pelajaran dan pembangunan.  Beliau menerangkan bahawa beliau amat mengharapkan simpati daripada kumpulan atau orang persaorangan agar tampil membantu masyarakat Islam Cambodia  katanya dalam nada simpati dalam Bahasa Melayu bercampur Cham.  Bahasa Inggeris beliau agak terhad walau pun beliau berkechimpung dalam dunia perniagaan khusus bidang pelancungan yang merupakan nadi utama bisnis beliau.  Oleh yang demikian saya   menyarankan kepada pelancong Malaysia jika ingin melancung ke Siem Reap sila hubungi beliau di email tertera.

Dengan merujuk kepada computer dan diselang seli gurauan, beliau menunjukkan beberapa projek yang telah dan akan dilaksanakan di sekitar Siem Reap.  Antaranya masjid di Chong Knes, Tasik Tonle Sap khusus untuk hampir 120 keluarga Islam di persekitarannya.  Pembiayaan projek-projek ini kesemuanya adalah datang dari hasil masyarakat Islam setempat dan bantuan berterusan daripada masyarakat Islam yang telah dan akan melawat Siem Reap.  Saya sesejenak kadang-kadang berhenti sebentar daripada makan mengenangkan masaalah yang dihadapi oleh masyarakat Cham Cambodia jika dibandingkan dengan peribumi Cambodia sendiri.  Mereka ketinggalan dalam serba serbi kerana dibelenggu oleh kemiskinan dan  kita wajib dan wajar membantu khususnya dalam pembangunan rohani dan jasmani.

Dari pengalaman bertemu Ustaz Hj Musa banyak perkara kami pelajari untuk dikongsi bersama.  Penjejakan kami akan diteruskan selepas Siem Reap demi melihat sendiri kebenaran dari cerita-cerita yang dipaparkan oleh orang-orang persaorangan.

Mengakhiri pertemuan saya dan rakan dibawa ke pasar malam Siem Reap dengan kenderaan beliau dan kami berpisah dengan seribu harapan untuk membantu masyarakat Islam Cambodia.  Pasar malam unik kami temui malam ini.  75 peratus pengunjung adalah dari kalangan pelancong asing berbagai negara.  Barangan berupa cenderahati dijual dengan harga berpatutan.  Us dollars menjadi pertukaran  dari  tangan   ketangan.  Cambodia Riel juga laku diperdagangkan dalam jajaran yang kecil.  Bar, massage menjadi tempat tumpuan yang sibuk dengan tawar menawar.  Dibersebelahan jalan besar pasar lama (Old Market) terdapat deretan gerai menjual makanan dan minuman dengan ribuan pengunjung dalam dan luar negara menjamu selera dan berbual kosong.  Kami tidak berkesempatan berbuat demikian kerana tiada satu pun warung yang menjual makanan khusus untuk masyarakat Islam. Tiba-tiba saya disapa oleh sekumpulan pelancong dari Korea dalam Bahasa Korea dan terpinga pinga saya dibuatnya.  Almaklum malam  itu saya berbaju T menunjukan   "I Love Korea".  Kebetulan destinasi saya sebelum ini adalah Korea Selatan.

     Angkot Wat

Semalam di Mandalay Guest House memberi kami kepuasan yang tidak terhingga. Layanan, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan amat memuaskan disamping harga yang berpatutan.Walau bagaimana pun kami terpaksa berangkat ke Phnom Penh pada hari berikutnya oleh sebab kami difahamkan bahawa tiada perkhidmatan boat pada tarikh terancang.  Perjalanan dari Siep Reap ke Phnom Penh melalui jetty Chong Knes yang jaraknya setengah jam perjalanan.  Lima minit sebelum kami menghampiri jetty, tersergam indah disebelah kiri jalan sebuah masjid bewarna kuning berlatar belakangkan tasik sebagai mercu tanda baru penduduk Islam Chong Knes.  Teringat saya kepada Ustaz Hj Musa bahawa ini adalah projek beliau yang bakal siap dalam beberapa bulan lagi. Toyota camry menyusur terus laluan berbecak menemani pemergian kami dengan perjalanan serba bisu dimana pemandunya tidak tahu berbahasa Inggeris dan kami pula sebaliknya.

Tepat jam 0800 pagi boat menyusuri Tasik Tonle Sap.  Penumpang keseluruhannya hampir 3/4 adalah terdiri daripada pelancong asing kecuali pemandu pelancong daripada keturunan Cambodia. Beserta kami sekumpulan besar guru dan pelajar dari Chains, Australia Utara,  pelancong dari Vietnam dan dua dari Malaysia.  Boat membelah lalu Tasik Tonle Sap dengan megahnya.  Diperingkat awal dapat juga  kami  melihat  dengan jelas bagaimana kehidupan penghuni tasik Tonle Sap dengan kehidupan harian mereka.  Rata-rata mereka adalah nelayan tasik dan bercucuk tanam.  Keindahan, kebiruan air tasik tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.  Bot  meluncur terus laju mengharungi kebiruan tasik dan akhirnya meninggalkan jaluran air berbelah didada tasik.  Bot mengharungi tasik tanpa tepian dan sekali sekala kelihatan burung berterbangan menyambar ikan dan nelayan hilir mudik mencari rezeki sesuap hasil dari tasik Tonle Sap.

 
       Pengkalan Boat Chong Knes

Hampir empat jam perjalanan berlalu rakan-rakan kami dari Australia majoritinya keluar bersantai diatas bumbong boat berjemur dan menyedut udara nyaman dari cuaca panas diluar.  Saya juga mengambil kesempatan ini bersama mereka dan merakamkan banyak foto untuk kenangan.  Tasik Tonle Sap mulai bertepi semula dan penempatan rumah-rumah ditebing tasik dapat dilihat dengan jelas.  Pemandangan pokok-pokok thai tersusun rapi dan cantik sekali disamping rumah-rumah usang beratapkan rembia dan berdindingkan jerami dengan kebanjiran air akibat banjir. Sekali sekali nampak seakan-akan bandar ditebing tasik dengan pagoda lambang agama budha tersergam tinggi mendongak.  Bot-bot kecil berulang alik dan pandangan anak-anak kecil bersampan adalah lumrah bagi kehidupan sebegini.  Bagi saya ini adalah pengalaman lima puluh tahun dahulu semasa menjadi kampong boy yang nakal.

Dari tasik kini bot menyusuri sungai yang agak sempit dengan pandangan makin jelas dan nyata.  Kami melintasi Kampong Chhnang salah sebuah kampong yang banyak juga dipenghuni oleh orang-orang Islam berbangsa Cham.  Terdapat empat buah masjid tersergam indah yang dapat dilihat dari bot yang meluncur laju. Bot melintasi dua jambatan menghubungkan Phnom Penh keselatan, Vietnam dan sebagainya.  Sebelumnya kami pernah melintasi sungai ini dengan fery yang mengambil masa hampir dua jam untuk keseberang dalam perjalanan ke Phnom Penh daripada Ho Chi Minh City dengan perjalanan berdebu ketika 6 tahun lalu.  Perjalanan boat makin lama makin hampir menghampiri Penh Penh dan suasana bandar mulai terasa dengan pemandangan kehidupan harian jelas dipandangan.  Kami menjejaki jetty Phnom Penh tepat jam 2.30 petang dengan masa perjalanan tanpa henti selama 6 jam 30 minit.

PHNOM PENH

Bandaraya yang tidak asing lagi bagi raayat Cambodia juga dimata dunia malah sebagai pusat cormercial dan pusat pentadbiran Kerajaan Cambodia.  Sungai Mekong yang mengalir dari Delta Mekong ke Yunan China membelah bandar Phnom Penh dan merupakan  nadi utama pengangkutan air dan sebagai sumber rezeki pendapatan ikan air tawar yang terkenal.  

Hari meniti petang dan cuaca sekitar 30C membuatkan badan terasa panas dan perlu berehat sebentar disamping mendapatkan makanan tengahari. Kami meneruskan perjalanan Kembara Muslim Cambodia dan singgah di sebuah restoran Kymer Islam  "Malaysia Restoran" yang terletak kira-kira 200 meter dari jetty penumpang ke Siem Reap.  Allah memberkati perjalanan  kami.  Kami dipertemukan dan diperkenalkan dengan Tuan Hj Abdul Wahid (Email : an_nikmah@yahoo.com ) yang kebetulan singgah dan sedang makan tengahari direstoran tersebut oleh pelayan restoran. Untuk makluman beliau adalah bekas Qari yang mewakili Cambodia dalam Musabaqah Al-Quran Peringkat Antara Bangsa di Malaysia suatu ketika dulu.  Kami memperkenalkan diri dan menyampaikan hasrat sebenar pengembaraan kami kali ini. Perbualan menjadi mesra dan bertukar pandangan dalam perkara yang menyentuk tentang kehidupan umat Islam di Cambodia. Rupa-rupanya kami telah diketemukan oleh Allah dengan orang yang sebenarnya yang perlu kami temui.  Tuan Hj Wahid Abdullah ialah Timbalan Mufti Kerajaan Cambodia dan merangkap Setiausaha pembangunan Sekolah An-Ni'mah  diseluruh Cambodia.    
   
                             
                                                               Asrama Pelajar Lelaki                                

                                                                         Bilik Darjah
                                                             
Selepas berbual panjang lebar kami dibawa melihat sendiri apa yang beliau perkatakan tentang sekolah agama, asrama, perkampungan Islam di Km 8 Jalan Besar ke Phnom Penh.  Saya tergenang air mata melihat suasana perkampungan pelajar yang menempatkan lebih kurang 25 pelajar lelaki dan 50 pelajar perempuan.  Rakan saya Tuan Hj Rosli juga menitiskan air mata.  Suasana pilu bercampur sedih mengenangkan bahawasanya ada lagi umat Islam sedaif ini didunia yang serba morden ini.  Saya mengalami keadaan ini dikampung saya diutara semenanjung sekitar 50 tahun lampau.  Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.  Oleh yang demikian saya kepilkan gambar-gambar sebagai membuktikan kebenaran pancaindera saya melihat keadaan yang sebenar. Dapatkah dibayangkan sebuah rumah 15 X 15kp dihuni oleh 25 pelajar perempuan dengan tiada bekalan asas kecuali lampu ayam dan air. Para pelajar adalah dalam lingkungan belasan tahun antara 15 - 20 tahun yang juga kami difahamkan dari kalangan anak yatim dan kemiskinan tegar. Mereka meneruskan pengajian untuk mendapatkan Sijil Menengah Agama (SMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan bantuan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Kelantan.  Di negara ku  murid dalam usia  begini menikmati berbagai kemewahan dengan gejet semasa.  Sedar tidak sedar saya melangkah lesu meninggalkan mereka yang menanti dengan penuh pengharapan.  Dibenak saya terfikir dimanakah OIC, Negara Islam yang kaya raya mencurahkan rezeki yang berlimpah ruah dikurniakan Allah sedangkan masih ramai lagi saudara mereka kelaparan sebagaimana raayat minoriti di Cambodia.
                                     Asrama Pelajar yang menempatkan 25 Pelajar Wanita

                                                  Keadaan Dalaman Asrama Wanita

Sebelum kembali ke hotel saya singgah sebentar di Pejabat Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Cambodia dengan hasrat untuk berjumpa dan berkenalan dengan Mufti Cambodia Oknha SOS Kamry Hj Kamaruddin Yusof (Email : mufticom@yahoo.com).                                  
                                                                                          Sahabat Saya bersama Mufti Cambodia
                                                                                                                                                                           

Dizinkan Allah di sebuah rumah kecil terletaknya Pejabat Mufti Cambodia dan beberapa orang setaf pembantu.  Dalam fikiran saya apakah betul ini rumah yang menempatkan Mufti Kerajaan Cambodia jika dibandingkan dengan negara kita dan apakah seorang mufti sanggup berjumpa dengan pengembara seperti kami.  Sangkaan kami meleset sekali.  Kalau di Malaysia berjawatan Mufti tidak membenarkan kita sesuka hati berjumpa atau setidaknya mengambil masa berminggu dengan berbagai temujanji sebelum dapat berjumpa. Suasana ini tidak di Cambodia. Saudara bebas berjumpa dan bertukar pandangan dengan Mufti.  Beliau  seorang yang peramah dan bermotivasi  tinggi.  Luas pandangan serta amanah dalam melaksanakan amanah Allah kepada raayat Cambodia yang memerlukan.  Menjadi contoh terbaik buat ummah  dan kita patut dan wajib menjiwai teladan begini demi ummah dan umat Islam sejagat.  Seribu kenangan bersama beliau dan kami meneruskan Kembara Islam Cambodia ke Kampung Cham.

                                                                                    Pejabat Mufti Cambodia

KOMPONG CHAM
Terletak 124 km ke utara Phnom Penh dengan pengangkutan utama ialah  Bus Express (Sorya Ekspress) yang memakan masa hampir 3 jam dengan tambang RM 15.00.  Untuk makluman para pengembara lain bahawa setakat  tulisan ini, laluan Sungai Mekong dengan boat sudah tidak lagi beroperasi sebagaimana maklumat yang terdapat didalam web-web terkini. Kami bertolak seawal jam 0700 dan tiba di Kampung Chan jam 11 pagi setelah berehat seketika dalam perjalanan.  Sepanjang perjalanan tidak banyak yang dapat digambarkan memadai saya katakan sama dengan perjalanan kita balik kekampong di Malaysia. Cuaca agak panas dan kami sebagaimana lazimnya akan mencari restoran untuk membasuh tekak.  Dengan bantuan seorang penduduk tempatan kami dimaklumkan terdapat beberapa gerai kecil di Pasar Kampung Cham yang menjual makanan Islam. Alhamdulillah begitulah yang terpancar dari mulut saya apabila dari jauh diluar pasar kami dapati sekumpulan kecil orang berkopiah putih sedang menjamu selera. Pasti sudah kami telah dipertemukan oleh Allah dengan saudara-saudara kami dalam usaha kami menjejaji mereka menerusi Kembara Muslim di Cambodia.  Dari jauh kami disapa 'Assalamualaikum" suara keramat bahawa kami adalah dari umat Muhammad S.A.W.

                                          Sahabat saya Hj Rosli dan Ustaz Muhammad

Sebagaimana dalam dua pertemuan sebelumnya samaada di Siem Reap dan Phnom Penh, Allah telah mentakdirkan segala-galanya.  Bersyukur kehadrat Ilahi dengan kalimah Al-hamdulillah muncul seorang lelaki berjubah hitam dan berserban dengan menunggang skuter dihadapan gerai.  Sekali lagi salam berkumandang dan berbalas serta tangan berjabat erat dalam ertikata kami adalah sahabat sesama Islam.  Tidak perlu diperkenalkan lagi sama-sama telah sedia  maklum.  Lihat betapa nikmatnya pengamal Sunnah Rasullullah S.A.W. Tetamu memperkenalkan diri sebagai Ustaz Muhammad dalam Bahasa Melayu yang fasih dan jelas.  Sahabat pengembara saya Hj Rosli dan saya juga sama-sama memperkenalkan diri.  Kami menjamu selera dan berbincang serta bertukar-tukar pandangan.

                                          Hj Zainal bersama Murid Tahfiz Ustaz Muhammad

Ustaz Muhammad ialah Graduan Al-Hafiz daripada Sekolah Tahfiz Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur.  Bertugas sepenuh masa di sebagai Imam dan Guru Agama di Kampung kelahirannya Krawang.  Membuka sebuah kelas Tahfiz dan mempunyai 12 anak murid yang rata-rata telah menghafaz 4 - 5 juzuz Al-Quran.   Kampung Krawang terletak ditebing Sungai Mekong lebih kurang 20 km daripada Kampung Cham dimana  dihuni oleh hampir 200 keluarga Islam.  Untuk sampai disini   kita  terpaksa menyeberangi Sungai Mekong untuk selama 20 minit dengan ferry boat sebelum dapat sampai ke destinasinya.  Perjalanan dengan skuter melalui jalan berturap dan selehihnya 10 km lagi jalan tanah merah yang berdebu. Kesukaran ini kami tempuh dengan tabah walaupun banyak bahaya dan rintangan dijalanan demi kecintaan kami kepada masyarakat Islam Cambodia.  Kami sampai di masjid Kampung Krawang dengan membonceng skuter bersama  Ustaz Muhammad dan dua anak murid beliau dan disambut oleh sekumpulan jemaah.  Salam berkumandang dan tangan berjabat erat.  Dari wajah-wajah jemaah saya dapat bayangkan bahawa mereka adalah petani mau pun nelayan Sungai Mekong yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan malam.  Secawan teh setiap seorang diedarkan sebagai menyambut dan menghormati tamu yang tidak diundang.  Tapi malang kami tidak dapat berkumunikasi dengan mereka yang tidak boleh berbahasa lain selain bahasa Cham. Sedikit sebanyak Ustaz Muhammad selaku penterjemah membolehkan kami serba sedikit memahami tentang kehidupan harian mereka.  Saya dengan kalimah bismillah meneguk teh untuk menghilangkan dahaga sepuasnya.

                                                       Jamuan Teh di Masjid Krawang

Ustaz Muhammad seperti yang saya nyatakan tadi menjalankan tugas sepenuh masa mendidik anak-anak Tahfiz seramai 12 orang sebagai anak sendiri disamping seorang isteri dan anak kecil.  Makan minum, tempat tinggal  dan sebagainya ditanggung oleh Ustaz.  Saya difahamkan beliau memerlukan RM 25.00 sehari untuk tujuan tersebut. Dari luahan isi hatinya saya dapat menggambarkan bahawa beliau ingin memohon simpati yang teramat sangat dari orang luar khususnya dari Malaysia untuk tampil membuat amal jariah dengan menyumbang sedikit sebanyak secara berterusan agar suatu hari nanti lahirlah Tahfiz-tahfiz yang dapat meneruskan kesinambungan keislaman di bumi Cambodia.  Kemiskinan mereka saya ibaratkan jika di Malaysia 2 Proton Saga bagi setiap rumah tetapi di Cambodia 2 ekor lembu bagi setiap rumah. Bersama saya dikirimkan Akaun MAYBANK dan nombor telefon kepada sesiapa yang ikhlas ingin membantu.

                                                 Pasar Petang Islam Kampung Klawang

Oleh kerana kesuntukan masa kami beredar dengan penuh perasaan kesayuan setelah bersalam-salaman dengan mereka ditemani oleh Ustaz Muhammad dan dua muridnya kembali  ke Kampung Cham . Sesungguhnya kami tidak dapat melupakan mereka sehingga kami dapat membuat sesuatu bagi meringankan beban mereka sekadar yang bolih.  Insyallah kami akan berusaha dan berusaha dan akan kembali lagi kesini.  Dalam suasana muram menjelang dinihari kami bertolak kembali ke Phnom Penh dengan seribu kenangan pahit manis menghayati missi  Kembara Muslim Cambodia.

SIHANOUKVILLE
                                                                                                  Bersantai di Pantai Ochheuteal       
Meneruskan Kembara Muslim Cambodia kami meneruskan perjalanan dengan bus express bermula jam 8.00 pagi menuju ke destinasi peranginan utama Cambodia, Sihanoukville.  Terletak 230 km daripada Phnom Penh dengan kos tambang RM 18.00 sehaluan.  Perjalanan yang agak selesa dan mengambil masa 4 jam sahaja untuk sampai walau pun musim hujan dan banjir sedang melanda Cambodia.  Diawal perjalanan dikiri kanan jalan nampak dengan jelas park-park yang pesat membangun bagi menampung perkembangan industri yang semakin pesat.  Tidak hairanlah sebagaimana yang dilapurkan bahawa para pelabur telah bertumpu ke Cambodia bagi meneruskan kesinambungan perniagaan mereka.  Fasa kedua pula merentasi kawasan padi, tanaman kontan, perusahaan biji gajus, ternakan ikan, penternakan lembu dan sebagainya.  Manakala fasa ketiga kami melepasi kawasan berbukit dengan pandangan yang cantik dan sesekali terbentang keputihan air terjun dari  kawasan pergunungan.  Tiga puluh minit sebelum sampai ke bandar Sihanoukville barulah kami nampak sebuah masjid dan sebuah surau ditepi jalan.  Dari pembacaan saya sebelumnya sememangnya jarang sekali terdapat masyarakat Islam dilaluan ini.  Kami sampai di Sihanoukville dan bermalam di Beach Road Hotel.

Kembara Muslim Cambodia diteruskan dengan taktik yang sama.  Mencari restoran atau gerai yang menjual makanan Islam.  Sayang sekali  dalam keadaan hujan yang sesekali lebat Sihanoukville bukan tempatnya dan cuma sebuah masjid kami diberitakan terdapat disini.  Banyak jawapan mengatakan mereka tidak tahu adanya masyarakat minoriti Islam di Sihanoukville. 

KOH KONG

Jambatan baru yang menghubungkan Sihanoukville dan Phnom Penh  telah dibuka untuk laluan kenderaan.  Kami meneruskan perjalanan dengan bus ke Koh Kong kerana setakat ini tiada lagi ferry yang menghubungkan Sihanoukville dan Koh Kong beroperasi seperti sebelumnya.  Perjalanan ini meliputi  jarak 119 km diantara keduanya dan dijangka mengambil masa 4 jam dengan kos RM 21.00.  Keseluruhan penumpang ialah pelancung luar termasuk kami  berdua dari Malaysia.  Jalan yang sempit menjarakkan perjalanan disamping tiada keistimewaan apa-apa kerana kami melintasi hutan simpanan yang luas sehinggalah ke Koh Kong.  Sebelum kami singgah di Sre Ambil,  cuma terdapat  sebuah masjid dan sebuah gerai yang menunjukkan tanda halal sahaja yang ada disepanjang perjalanan.  Kami sampai di Koh Kong tengahahari dan terus kesempadan untuk urusan imigresen memasuki Thailand melalui sebuah pekan kecil bernama Hat Lek.  Dari Hat Lek perjalanan diteruskan ke Trat, Rayong dan Bangkok.  Saya meneruskan lagi perjalanan ke Kanchanaburi (River Kwai).  Episod berikutkan sila lihat "River Kwai History Trip".

                           Pejabat Imigresen Koh Kong (Cambodia) & Hat Lek (Thailand)

Selepas melampaui sempadan THAILAND & CAMBODIA bermakna tamat sudah Kembara Muslim Cambodia.  Kesimpulannya kami akan kembali lagi dan membantu dan akan terus membantu membangunkan Muslim di Cambodia seada mungkin.  Assalamualaikum.  SALAM












4 comments:

  1. Ini lah suasana umat islam kita di kemboja. Tidak banyak orang yang memehami dan kerahui tentang umat islam di kemboja. Jadi bila kita nampak keadaan mereka beru lah kita sedar bahawa umat islam kita di kemboja masih perlu bantuan dan bantu dari umat islam yang berkuasa. Saya mendoa agar kami di kemboja dapat dipendang dengan kasih sayang.

    ReplyDelete
  2. Askm. Kami menghargai sesama Islam. Tetapi sekarang udah kedengaran terdapat dua group dalam Kesatuan Islam disini. Mana sata yang benarx ingin memperjuangkan Islam ?

    ReplyDelete
  3. di kemboja bukan sahaja umat islam yang daif...tetapi orang buddha juga miskin...orang kristian dan hindu juga menjalani kehidupan susah...so bantuan seperti ini tidak akan membantu negara kemboja pun sebenarnya....contohnya kampong cham ..jauh dari laut maka perdagangan dan perkilangan kurang realistik...so jawapan yang terbaik adalah penanaman kelapa sawit....moga ada orang perseorangan dan korporat yang melabur di sana suatu hari nanti...

    ReplyDelete
  4. Benar kata tuan. Cadangan tuan adalah baik tetapiyak tidak sesuai pada negara berkenaan. Saya ada sedikit pengalaman dg sesaorang yang telah cuba berbuat demikian (Tanam getah)tetapi banyak masalah.
    Kita juga kena ambil iktibar drp Tabung Haji dan Gutrie yg memanam kelapa sawit di Indonesia. Apa terjadi akhirnya !. Sinario yg sama jika berbuat demikian di Kemboja.

    ReplyDelete